Sunday, 24 December 2017
Pengurusan rumah tangga tanggung jawab suami ?
SOALAN:
Apakah hukum seorang isteri yang kerap meninggalkan keluarga, terutama suami dan anak-anak untuk mengikuti kelas agama. Malah, ada kalanya isteri melupakan tanggung jawab menyediakan makanan sama ada pagi, tengah hari atau malam kerana mengikuti kelas agama atau mengaji di masjid atau surau.
Apabila ditegur, si isteri menggunakan alasan mencari pahala dan keredaan Allah. Adakah ini mengikut syariat?
Khairi Ali, Bentong.
JAWAPAN:
Dalam perkahwinan, kedua-dua pihak, iaitu suami dan isteri mempunyai tanggung jawab masing-masing terhadap pasangan mereka dan rumah tangga. Antara tanggungjawab yang sering menjadi pertikaian suami isteri adalah siapa yang bertanggungjawab melakukan kerja rumah seperti memasak, membasuh pakaian, mengemas rumah dan mengasuh anak-anak.
Menyemak dalam mana-mana buku mengenai perkahwinan dan hak suami isteri, menguruskan rumah tangga tidak termasuk pun dalam senarai tanggungjawab yang perlu ditunaikan oleh isteri. Apakah ini bererti kerja memasak, mengemas dan sebagainya perlu dilakukan oleh lelaki?
Wajib cari pembantu rumah
Pada asasnya, pengurusan rumah tangga adalah tanggung jawab suami menguruskannya sama ada dengan melakukannya sendiri atau mengupah orang lain.
Malah, sekiranya seorang lelaki mengahwini wanita yang berkedudukan dan kaya serta tidak pernah melakukan sendiri semua kerja rumah, wajib bagi suami mencari pembantu rumah bagi menguruskan semua kerja ini.
Walaupun begitu, hukum juga mengikut adat kebiasaan setempat. Misalnya, dalam masyarakat Arab, memang menjadi kebiasaan bagi isteri tidak melakukan sebarang kerja di rumah.
Semua kerja ini terpaksa dilakukan sendiri oleh suami atau mengupah orang lain melakukannya. Sebaliknya, di Malaysia, sejak dulu lagi kerja rumah dilakukan oleh golongan wanita sama ada isteri atau anak perempuan.
Justeru, apabila isteri memilih membantu suami mereka menguruskan kerja rumah, ia adalah kebajikan yang mulia dan dianggap sebagai sedekah.
Ia juga adalah amalan yang dilakukan oleh isteri-isteri nabi dan anak perempuannya seperti Fatimah.
Rasulullah SAW pernah menolak permintaan anaknya, Fatimah, bagi mendapatkan pembantu rumah, sebaliknya Baginda meminta anaknya menguruskan sendiri kerja rumah.
Suami wajib ajar isteri ilmu asas agama
Selain itu, antara tanggung jawab suami ke atas isteri yang sering diabaikan juga ialah kewajipan memberikan pendidikan agama. Wajib ke atas suami mengajar isterinya ilmu asas agama Islam seperti taharah, solat, puasa dan akidah.
Sekiranya tidak mampu, suami wajib membenarkan isteri keluar mencari kelas agama dan membeli buku rujukan. Semua kos pengajian ini perlu ditanggung oleh suami.
Memahami kedua-dua kewajipan ini, suami dan isteri perlu bertolak-ansur dalam isu ini. Bagi suami, sepatutnya bersyukur kerana isteri secara sukarela berminat dan bersungguh-sungguh menuntut ilmu agama dan tidak membazirkan masa dengan perkara tidak berfaedah seperti membeli-belah, menonton atau bersembang dengan sia-sia.
Apa salahnya sekiranya pada hari si isteri terpaksa ke kelas, suami boleh memasak sendiri atau boleh saja mengajak anak-anak makan di kedai.
Bagi isteri pula, tidak salah untuknya belajar menambah ilmu pengetahuan dan penghayatan agama, tetapi biarlah bijak membahagikan masa antara pengajian dan tugas di rumah. Tambahan pula, jika tahu si suami tidak pandai memasak dan tidak biasa menguruskan diri dan anak-anak.
Isteri boleh memilih kelas pengajian mana yang lebih utama dan melepaskan kelas pengajian yang kurang penting. Apa pun dalam menyelesaikan kemelut ini, tolak ansur antara suami isteri adalah kunci penyelesaiannya. Ibarat menarik rambut di dalam tepung.
Sumber : bharian.com
0 Response to "Pengurusan rumah tangga tanggung jawab suami ?"
Post a Comment